-->

Sebelah Sayap

Sunday, 29 July 2012

DAP Terasa Dengan Tanda Putera.



Usai tayangan khas filem Tanda Putera di Damansara, minggu lalu, rata-rata penonton yang diundang, larut dalam perasaan masing-masing malah ada yang menitiskan air mata.

Rasa terharu, sedih, dan bangga bercampur aduk menghasilkan semangat kecintaan terhadap tanah air yang disayangi ini.

Mungkin ada yang skeptikal dengan apa yang mampu ditawarkan oleh filem patriotik seumpama ini, melainkan fakta sejarah yang hanya mengundang kantuk.

Namun percayalah, formula diadun Datin Paduka Shuhaimi Baba selaku sutradara sepanjang 117 minit durasi filem ini bakal mengubah persepsi klise tersebut.

Tanda Putera, judul yang dipilih bagi menggambarkan petanda seorang pemimpin berjiwa besar, bukanlah sekadar filem sejarah.

Ya, tidak dinafikan filem ini antara lain mengangkat kisah benar insiden-insiden penting yang berlaku sepanjang tampuk pemerintahan perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bersama timbalannya, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Menurut Shuhaimi atau lebih mesra dengan panggilan Shumi, Tanda Putera sebenarnya dibikin khas bagi mengenang jasa dan pengorbanan dua tokoh hebat tersebut.

"Filem ini melangkaui garisan, ia bukanlah sebuah filem bermotif politik atau cuba mengungkit luka masa lampau negara kita.

"Sebaliknya, saya mahu penonton merasai sendiri apa yang telah dilalui oleh pemimpin negara kita dalam mempertahankan keamanan negara.

"Dua sahabat ini berganding bahu mentadbir negara dan dalam masa sama, masing-masing menderita penyakit tanpa diketahui orang lain.

"Nilai persahabatan dan pengorbanan mereka inilah yang ditonjolkan dalam Tanda Putera agar generasi sekarang sedar nikmat dikecapi kini adalah hasil titik peluh pemimpin terdahulu," katanya.

Tanda Putera dibintangi barisan pelakon hebat, antaranya Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak), Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Toh Puan Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norashikin).

Shumi tercabar

Berpengalaman menghasilkan filem 1957: Hati Malaya pada 2007 yang juga bergenre sejarah, kali ini cabaran dihadapi Shumi dan kru produksi lebih besar.

Hampir setahun lamanya diperuntukkan oleh Shumi yang menyertai lapan tenaga penyelidik lain untuk membuat kajian.

Apatah lagi, tokoh yang ingin ditampilkan di layar perak itu merupakan bapa kepada Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Maka, mahu tidak mahu, kajian terperinci diperlukan agar terjemahan Tanda Putera tidak lari daripada kisah yang benar-benar terjadi.

"Cabaran terbesar untuk mengangkat kisah benar adalah bagi memastikan filem ini tidak kelihatan seperti sebuah dokumentari.

"Memandangkan ini adalah sebuah filem cereka, saya memasukkan juga watak-watak fiksyen seperti penuntut universiti bagi menggerakkan jalan cerita.

"Bagaimanapun, kewujudan watak fiksyen ini masih bersandarkan kajian, rujukan dokumen sejarah serta pengalaman orang sekeliling," kata Shumi berkongsi cerita.

Filem hasil kerjasama Pesona Pictures dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) ini juga menelan kos yang bukan sedikit, iaitu RM4.8 juta termasuk promosi.

Menjelaskan hal itu, kata Shumi, kos tinggi itu lebih banyak dihabiskan untuk kerja-kerja kesan khas yang rumit.

"Memandangkan filem ini berlatar belakangkan zaman sekitar 1960/70-an, kita harus membuang semua struktur moden yang kelihatan.

"Bajet besar juga diperlukan untuk membina sendiri set secara digital kerana kita tidak dibenarkan membuat penggambaran di sesetengah lokasi.

"Selain itu, kita juga berdepan dengan masalah footage serta rujukan yang hampir rosak dan memakan belanja tinggi untuk memperbaikinya," katanya yang mengambil masa 10 bulan untuk menyiapkan penggambaran.

Pendedahan berani

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan mengenai Tanda Putera ialah keberanian Shumi memaparkan tragedi rusuhan 13 Mei 1969.

Masih meninggalkan kesan buat rakyat negara ini, mungkin ada yang salah faham niat Shumi memasukkan adegan yang terjadi ketika Tun Razak menjadi timbalan perdana menteri ketika itu.

Bukan mahu mengundang kontroversi jauh sekali memanaskan keadaan, jelas Shumi, wujud relevan di sebalik pemaparan kisah hitam itu.

"Sudah tiba masanya kita berdepan dan mengetahui kisah sebenar mengenai trauma yang selama ini menghantui negara.

"Setelah melakukan kajian secara terperinci, saya yakin dengan interpretasi dalam filem ini iaitu peristiwa 13 Mei bukan bermula daripada rusuhan kaum.

"Apa yang lebih penting ialah rakyat dapat melihat kebijaksanaan pemimpin ketika itu menyelesaikan rusuhan tersebut," katanya yang berharap penonton dapat menerima filemnya ini dengan minda terbuka.

Malah, kata Shumi, dia mengundang sendiri sekelompok penonton yang berbeza fahaman politik untuk menonton filem ini dan memberi pandangan sebelum ia ditayangkan.

"Mereka bersetuju bahawa Tanda Putera bukanlah filem yang menyebelahi mana-mana pihak.

"Atas pandangan mereka jugalah, filem ini terpaksa disunting sebanyak 30 peratus kerana ada adegan yang terlalu 'ganas'.

"Mengangkat kisah benar pastinya ada adegan yang boleh diterima dan tidak, jadi kita kena ambil kira pandangan penonton juga," kata Pengarah
Filem Terbaik sebanyak tiga kali di Festival Filem Malaysia (FFM) ini.

Kecewa tayangan ditunda

Dalam keterujaan untuk melihat filem kelapan arahannya ini memasuki panggung, Shumi akur apabila tarikh tayangan terpaksa ditunda.

Sepatutnya ditayangkan pada 13 September ini, kekecewaan jelas terpancar di wajah Shumi apabila Tanda Putera hanya akan menemui penonton pada satu tarikh yang ditentukan kelak.

Seperti dijelaskan Ketua Pengarah Finas, Mohd Naguib Razak, pihaknya terpaksa menunda tayangan Tanda Putera kerana mahu beri lebih ruang promosi bagi filem sangat berharga ini.

Malah, Naguib turut menolak penundaan itu berkait rapat dengan bahang pilihan raya yang makin hampir.

Biarpun sedikit terkilan, wanita berhati waja ini yakin dengan percaturan Finas yang membuat keputusan untuk tidak menayangkan Tanda Putera pada tarikh asal.

"Sejujurnya, saya dan barisan pelakon tidak sabar menanti tayangan filem ini pada 13 September sempena mood hari merdeka dan Hari Malaysia.
"Walaupun kecewa, saya tiada bantahan dan percaya Finas mempunyai tarikh yang lebih sesuai," katanya.

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...