Datuk Seri Idris Jusoh hari ini berkata tindakannya tidak mencalonkan dirinya bagi mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Besut semalam kerana ingin memberi laluan kepada pemimpin muda mencari pengalaman memimpin parti.

Katanya beliau ingin membuat pembaharuan supaya Umno diremajakan sesuai dengan suasana dan keadaan masa kini yang menunjukkan golongan muda semakin meminati potitik.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Kedua berkata demikian kepada media di sini dalam satu kenyataan ringkas bagi menjelaskan kenapa beliau tidak mencalonkan dirinya untuk jawatan itu apabila pencalonan ditutup 5 petang semalam.

Jawatan Ketua Bahagian yang disandang Idris selama 13 tahun sejak 2001 itu kini menjadi rebutan antara Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Hulu Besut, Nawi Mohamad yang kini Timbalan Ketua Bahagian dengan Anggota Parlimen Jertih, Muhamad Pahemi Yusof yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Besut.

Bagaimanapun, Idris mengambil jawatan Naib Ketua Umno Bahagian dan menang tanpa bertanding untuk jawatan itu setelah tiada borang pencalonan lain diterima sehingga tempoh penyerahan tamat pada 5 petang semalam.

Idris berkata beliau kini mahu menumpukan kepada pemilihan peringkat Majlis Tertinggi (MT) pusat nanti.

Selain Idris, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menawarkan diri untuk bertanding di peringkat MT. - Bernama