-->

Sebelah Sayap

Monday, 4 June 2012

Universiti Malaya Semakin Pulih.


KUALA LUMPUR 30 Mei - Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukan sebagai universiti premier untuk tahun keempat berturut-turut apabila menduduki tangga ke-35 keseluruhan dalam QS Asian University Rankings 2012 dan tangga teratas dalam kalangan institusi pengajian tinggi di negara ini.

UM mengekalkan penguasaannya sebagai universiti terulung di Malaysia sejak QS Asian University Rankings diperkenalkan empat tahun lepas dan mencatat penambahbaikan daripada segi ranking tahun demi tahun.

"Dalam ranking Asia yang dikeluarkan QS, UM mendapat mata keseluruhan 71.4 daripada kemungkinan 100 dan menduduki tempat keempat bagi pertukaran keluar masuk pelajar.

"Ia juga menduduki tangga teratas di Malaysia daripada segi reputasi akademik dan majikan," kata Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata UM juga menduduki tangga teratas bagi semua bidang fakulti, termasuk Sastera dan Kemanusiaan, Kejuruteraan dan Teknologi, Sains Hayat dan Perubatan serta Sains Sosial dan Pengurusan, kecuali bagi Sains Semula Jadi, di mana ia menduduki tangga kedua.

Ghauth berkata, nilai penyelidikan UM dapat dilihat pada jumlah petikan yang diterimanya iaitu sebanyak 17,520, manakala universiti itu menghasilkan sejumlah 9,161 kertas akademik dari 2007 hingga 2011.

"Kami gembira dan berasa bertuah dengan ranking yang diterima pada tahun ini kerana kami telah melakukan yang terbaik untuk melakukan penambahbaikan dalam semua aspek, terutama dalam pertukaran keluar masuk pelajar," katanya.

Beliau berkata, ranking yang diterima itu adalah hasil ketekunan pihak pengurusan, petugas, pelajar UM serta pemegang kepentingannya dan Kementerian Pengajian Tinggi yang menyokong usaha tanpa hentinya ke arah mencapai kecemerlangan.

"Secara keseluruhan, kami melihat ranking Asia sebagai batu loncatan untuk mencapai matlamat akhir kami iaitu untuk tergolong sebagai 100 universiti teratas dalam ranking dunia pada 2015," katanya.

Ranking QS Asian University merupakan kajian menyeluruh tentang institusi pengajian di Asia yang melibatkan hampir 500 universiti, termasuk respons terhadap kaji selidik mengenai bidang akademik dan petugas. - BERNAMA

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...