-->

Sebelah Sayap

Sunday, 17 June 2012

Cipta Bukti.

KETIKA banyak isu moral, biseksual dan integriti Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim masih belum terjawab, muncul pula pendedahan terbaru.

Anwar didakwa mengarahkan peguamnya mencipta bukti mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu kapal selam Scorpene dan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribu.

Maknanya beliau mencipta fitnah terhadap Najib dalam isu tersebut yang dijadikan modal politik sejak 2002. Sampai begitu sekali sikap Anwar. Itu belum berkuasa, sekiranya menjadi Perdana Menteri, bayangkanlah musibahnya nanti.

Walaupun tersentak dengan pendedahan itu tetapi Awang tidak terkejut. Ramai yang tahu reputasi Anwar dalam soal integriti. Beliau tidaklah sebersih mana. Apatah lagi perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin yang ketika itu menjadi peguam bela Anwar.

Berikut antara sedutan kenyataan beliau semasa perbahasan di Dewan Rakyat, Selasa lalu yang disiarkan media.

‘‘Selaku peguam bela Anwar pada ketika itu, saya membuat pelbagai semakan undang-undang untuk mencari bukti bagi mengaitkan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan berkenaan. Namun tiada sebarang petunjuk Najib terlibat tetapi pembangkang cukup galak melemparkan fitnah.

Tiada sebesar zarah pun bukti Perdana Menteri terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya dan apabila saya memberitahu Anwar, dia marahkan saya.

Anwar kata, kalau tiada bukti, kamu kena adakan bukti tersebut tetapi sebagai peguam yang berprinsip, saya tidak mengikut arahan berkenaan.

Kalau ada bukti, sudah lama saya gunakan untuk menyerang Perdana Menteri tetapi hari ini, isu pembelian kapal selam Scorpene ditimbulkan lagi. Apa tujuan mereka timbulkan isu ini, tujuannya tidak lain untuk kembali mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya yang terbukti fitnah.

Saya peguam Anwar, saya lebih tahu. Mereka mendakwa kononnya ada surat akuan bersumpah yang mengaitkan Najib, semua itu bohong sebagaimana akuan sumpah palsu (diarah Anwar dalam kes Mohd. Saiful Bukhari Azlan),’’.

Kenyataan di Dewan Rakyat itu cukup kuat. Ini disusuli kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas sahabat Anwar bahawa Ketua Pembangkang itu tidak mempunyai sebarang asas untuk mengaitkan Najib dalam kedua-dua isu tersebut. Menurut beliau, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian Scorpene pada 2002 manakala penganalisis politik, Abdul Razak Baginda mula mengenali wanita itu pada 2004. Tiada kaitan sama sekali Altantuya dalam isu Scorpene lebih-lebih lagi dengan Najib. Perdana Menteri sendiri telah bersumpah di dalam masjid pada 2007 bagi membuktikan beliau tidak bersalah. Setakat ini, Anwar tidak memberikan reaksi berhubung pendedahan Zulkifli, sama keadaannya dengan pendedahan bahawa beliau mengawal 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.

Kalau ada pun penjelasannya sudah boleh dijangka - tidak menjawab persoalan sebenar dan menuding jari pula kepada pihak lain. Tidak perlu untuk Awang ulas panjang tetapi Anwar sudah menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara.

Selain dua kali dihadapkan ke mahkamah atas kes liwat dan isu biseksual, Anwar juga berdepan dengan banyak isu pembohongan dan dolak-dalik. Itulah ‘kehebatan’ Ketua Pembangkang Malaysia berbanding negara lain. Antara yang Awang ingat adalah muslihat mendapatkan bantuan IMF ketika krisis kewangan 1997, isu cubaan rampasan kuasa 16 September, kehilangan jam Omega, rakaman video seks bersama wanita dipercayai pelacur dan sokongan kepada Israel.

Sekali lagi bayangkan sekiranya Anwar menjadi ketua kerajaan, imej Malaysia yang disegani terutama sejak kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sahaja merudum malah diperlekehkan dunia.

Awang tidak kisah kalau Anwar mahu berbohong kepada isteri dan keluarganya tetapi janganlah terus berbohong kepada rakyat. Dalam Islam, ditekankan betapa pemimpin yang selalu berbohong apatah lagi memfitnah, perlu dihindari. Persoalannya, apa lagi fitnah yang Anwar reka, yang kita semua tidak tahu.

-Awang Selamat


Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...