-->

Sebelah Sayap

Wednesday, 13 June 2012

Nik Aziz Patut Malu.

Saya ingin ucapkan syabas kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana mengambil sikap beristiqamah dalam memperjuangkan perpaduan umat Islam di negara ini meskipun tidak disenangi sesetengah pihak.

Beberapa hari lalu akhbar melaporkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kuliah Jumaatnya berkata, Mufti Perak ‘gatal mulut’ kerana didakwa memberi ulasan mengenai politik.

Sebagai seorang tokoh ulama seperti Nik Abdul Aziz menggunakan ungkapan sedemikian tentulah dilihat tidak manis, malahan tidak wajar sama sekali.

Ini kerana umum tahu bahawa ulama itu adalah warisatul anbia (pewaris Nabi). Sedangkan Nabi itu sendiri dihiasi dengan akhlak yang mulia, bukan sahaja daripada segi tingkah laku tetapi termasuk juga perkataan yang diungkapkan.

Umum juga tahu bahawa Nabi dan Rasul diutuskan bukan sahaja untuk memperbetulkan akidah manusia tetapi pada masa sama memberi didikan akhlak yang sempurna atau mulia.

Masyarakat umum Islam di negara ini sentiasa ingin menjadikan ulama sebagai ikon mereka di dalam melayari kehidupan seharian, apatah lagi kehidupan dalam zaman yang tercabar serba-serbi ini.

Oleh itu, para ulama pula hendaklah sentiasa memelihara makam (kedudukan) mereka sebagai warisatul anbia yang sentiasa dihiasi dengan akhlak yang baik di samping menguasai serta menghayati ajaran agama secara mendalam dan holistik.

Politikus Muslim dan mufti dari segi tertentu mungkin terdapat perbezaan. Namun hala tujunya haruslah ada persamaan iaitu untuk menyebarkan ajaran agama dalam semua aspek serta berpegang teguh dengan ajaran dan syariat.

Memberi nasihat misalnya merupakan satu cabang dari prinsip dan ajaran syariat Islam. Justeru, salahkah sekiranya seorang mufti memberikan pandangannya atas dasar menasihati umat agar tidak terlanjur?

Matlamat politik mungkin satu hal yang berbeza dengan matlamat dakwah agama. Matlamat politik semestinya kuasa. Justeru, dalam keghairahan menghambat kuasa itu adakalanya tingkah laku seseorang yang mendukung sesuatu parti politik itu, termasuk para pemimpinnya, mungkin ada kalanya ‘terlajak’ dari segi syariat agama.

Maka dalam konteks ini tidak salah bagi seorang yang berjawatan mufti itu memberikan pandangannya atas dasar menegur atau menasihati saudara seagamanya, sungguhpun mufti itu bukan ‘orang politik’.

Oleh itu, dalam hal sedemikian orang politik pula tidak boleh menganggap mufti itu jahil dalam politik dan justeru itu tidak layak untuk ‘campur tangan’ dalam urusan politik.

Umat Islam seluruhnya di negara ini akan merasa bangga jika ulama yang diangkat darjatnya menjadi seorang politikus dapat mengimbangi antara keperluan politik dan tuntutan agamanya.

Melabelkan seseorang yang seagama dengan label tertentu yang mengandungi unsur-unsur penghinaan harus dielakkan, apatah lagi sekiranya individu yang dihina itu seorang yang bertaraf mufti.

Pas, sebuah pertubuhan politik yang dikenali sebagai sebuah parti ‘Islam’, haruslah bersandarkan kepada prinsip dan ajaran syariat Islam dalam semua ruang lingkup pergerakannya, termasuk tutur kata pemimpin dan pengikutnya.

Manakala perbuatan memperlekehkan orang lain sama ada menerusi perkataan dan lain-lain amat dilarang di dalam syariat Islam. Hukum ini dipercayai telah diketahui oleh kebanyakan masyarakat Islam di negara ini. Oleh itu, kenapa tidak diamalkan?

SALLEH SAAD

Sungai Petani, Kedah

P/S: Terima Kasih kepada Salleh Saad kerana sudi berkongsi pendapat.

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...