PILIHANRAYA
1. Kemana sahaja saya pergi, di Malaysia atau luar Negara, saya akan ditanya bila pilihanraya akan diadakan.
2. Saya harap saya tahu jawapannya tetapi Perdana Menteri tidak memberitahu saya apa-apa, dan lazimnya hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan tarikh tersebut. Sudah tentu tarikh itu tidak boleh melangkaui tempoh 5 tahun hayat Parlimen.
3. Soalan seterusnya ialah samada Barisan Nasional akan menang. Jawapan saya ia akan menang. Tetapi sebesar mana kemenangan itu sangat penting. Malaysia tidak boleh ditadbir oleh Parlimen yang berbelah-bahagi (hung Parliament) atau sebuah Kerajaan yang lemah. Keduanya tidak baik untuk Malaysia kerana semua akan tumpu kepada politik dan ekonomi serta pembangunan akan diketepi.
4. Ramai yang berkata Perikatan/Barisan Nasional telah berkuasa terlampau lama. Benar. Saya percaya bahawa sesuatu pemerintahan tidak boleh terlalu lama. Tetapi sekarang saya tidak begitu yakin pandangan saya boleh digunapakai untuk semua keadaan.
5. Ini kerana alternatif kepada Barisan Nasional adalah sesuatu yang menakutkan Ia dipimpin oleh seorang yang obsesi hanya hendak jadi Perdana Menteri tidak kira bagaimana sekalipun. Dulu saya tertanya-tanya mengapa ia menyertai UMNO dan bukan PAS. Sekarang saya faham. Ia akan melakukan apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri. Menyertai UMNO dan tidak PAS, yang pemimpinnya tidak pernah jadi Perdana Menteri, ia akan menjadi Perdana Menteri hanya dengan memanjat tangga kepimpinan UMNO. Sebaik sahaja menyertai UMNO ia bertanding jawatan Ketua Pemuda. Kemudian ia bertanding Naib Presiden seterusnya Timbalan Presiden. Langkah selanjutnya ialah menjatuhkan Presiden dan menjadi Perdana Menteri. Ia amat mudah.
6. Tetapi Perdana Menteri kelihatan tidak mahu berundur. Maka ia memulakan gerakan sulit memburukkan Perdana Menteri. Apa yang berlaku sudah menjadi lipatan sejarah.
7. Sekarang ia menerajui pembangkang dengan harapan akan dinobatkan di Putrajaya sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya ini. Saya berpendapat ini tidak baik untuk Negara. Begitu juga dengan koleksi caca-marba Pakatan yang cuma berpakat untuk tidak bertanding sesama mereka tetapi sebaliknya menyokong satu sama lain untuk memenangi pilihanraya sahaja. Selain parti “Saya mahu jadi Perdana Menteri”, turut sama ialah parti yang rasis dan parti yang memperalatkan agama. Mereka akan berbalah sepanjang masa. Mereka bukan satu gabungan. Mereka cuma berpakat untuk membantu masing-masing memenangi pilihanraya. Sekarang pun mereka sudah berbalah berkenaan siapa yang patut jadi Perdana Menteri. Mereka tidak berpegang kepada pendapat bahawa parti yang terbesar harus memimpin.
8. Memang benar Barisan Nasional sudah lama berkuasa. Begitu juga PAS di Kelantan. Tiada siapa boleh nafi kemajuan dan kemakmuran luar biasa yang dikecap di Negara dicapai dalam tempoh pemerintahan Barisan Nasional. Ini tidak boleh dinyatakan mengenai pencapaian PAS di Kelantan.
9. Kepimpinan PAS dan DAP yang sudah berumur tidak bertukar jauh lebih lama berbanding Barisan Nasional dan parti-parti komponennya. Sudah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Barisan Nasional tetapi dalam tempoh itu Ketua DAP masih tetap ditempatnya dan tidak mahu melepaskan jawatan. Dan anaknya akan mengambil-alih. Sebuah dinasti sedang terbina.
10. Kepimpinan PAS juga tidak berubah dalam tempoh kepimpinan empat pemimpin Barisan Nasional.
11. Ketua Keadilan meletakkan dirinya sebagai Penasihat tetapi menobat isterinya sebagai Presiden dan anak perempuannya sebagai Naib Presiden. Teman akrabnya menjadi timbalan. Tidak ada tanda-tanda akan berlaku sebarang perubahan kepimpinan. Dan pasti tiada pemimpin yang akan meletak jawatan.
12. Perubahan mestilah dari dalam dan luar. Perubahan luaran hanyalah untuk mengabui mata. Semasa kepimpinan enam ketua UMNO, polisi agak berbeza diantara satu sama lain. Kerajaan yang dipimpin tidak boleh dianggap sama. Yang pasti prinsip politik dan ekonomi jauh berbeza. Begitu juga dengan dasar luar. Malah boleh dikata walaupun nama adalah sama, Kerajaan setiap Perdana Menteri itu berbeza satu sama lain.
13. Barisan Nasional yang bertanding dalam Pilihanraya Umum ke !3 tidak akan sama dengan Barisan Nasional dibawah kepimpinan lima yang terdahulu. Ia adalah Barisan Nasional yang baru. Dan perubahan akan berlaku.
14. Namun begitu Barisan Nasional tetap berpegang kepada prinsip dan polisi asas yang sama. Parti komponen BN mengamalkan demokrasi di dalam parti dan Negara. BN percaya kepada perdagangan bebas dan inisiatif dari sector swasta. BN berpegang kepada kerjasama antara kaum dan perkongsian kuasa. BN juga percaya kepada agihan kekayaan yang adil diantara kaum. BN mesra perniagaan tanpa meminggir kepentingan anggota masyarakat yang lain.
15. Ia terbuka kepada innovasi dan idea-idea baru serta mengambil-kira pandangan yang dilontar rakyat dan ini membawa kepada perubahan dan transformasi. Cuma yang buta sahaja yang tidak dapat melihat perbezaan antara pemimpin tertinggi Kerajaan BN.
16. Ini bukanlah Negara satu parti. Barisan Nasional itu sendiri adalah gabungan 14 parti yang berlainan. Mereka boleh bersama atau memilih untuk keluar. Banyak parti ditubuh di Malaysia semasa zaman Perikatan dan Barisan memerintah Negara. Setengahnya dapat bertahan walaupun tidak menyertai gabungan Kerajaan.Yang lain seperti Sosialis, terus hilang. Setengahnya berjaya ke Parlimen manakala yang lain gagal memastikan wakil mereka ke Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.
17. Parti-parti pembangkang yang bertahan tidak pernah gagal untuk memenangi beberapa kerusi di dalam setiap pilihanraya. PAS kekal menerajui Kelantan menerusi beberapa pilihanraya dan pernah memenangi Terengganu dua kali. Sebuah parti tempatan pernah menewaskan Barisan Nasional dan menubuh Kerajaan di Sabah. Pulau Pinang dimenangi Parti Gerakan, ketika itu sebuah parti pembangkang.
18. Pilihanraya di Malaysia tidak pernah membosankan. Dalam tahun 1969, Perikatan hampir kalah dan dalam tahun 2008 Barisan Nasional kehilangan lima buah Negeri, satu Wilayah Persekutuan dan gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di peringkat Persekutuan. Keputusan pilihanraya di Malaysia tidak pernah melihat parti yang memerintah mendapat sokongan 99%. Hakikatnya parti pembangkang selalu memenangi sebilangan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan peringkat Persekutuan.
19. Sukar untuk memahami bagaimana seseorang boleh menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara pemerintahan satu parti. Memang benar Perikatan dan Barisan Nasional memenangi semua pilihanraya Persekutuan. Negara ini negara demokratik dan jika rakyat memilih untuk mengundi semula parti Kerajaan itu hak demokratik mereka. Mengundi pembangkang untuk memerintah tidak menjadikan Malaysia lebih demoratik mahupun menjadi bukti kita mengamalkan system dwi-parti. Pandangan jika mengundi pembangkang dalam pilihanraya akan datang akan menjadikan Malaysia negara yang mengamalkan system dwi-parti adalah tidak berasas. Parti-parti pembangkang tidak mewakili satu parti, bukan pun satu gabungan. Mereka membantu satu sama lain hanya untuk memenangi pilihanraya. Mereka akan kekal bersendirian, setiap satu dengan dasar dan agenda masing-masing. Mereka mungkin menubuhkan Kerajaan campuran tetapi ia akan menjadi gabungan yang longgar tanpa satupun agenda yang jelas.
20. Barak Obama menjanjikan perubahan bila terpilih. Tetapi ia tidak berdaya untuk menutup Guantanamo Bay ataupun keluar segera dari Iraq atau Afghanistan. Ia terpaksa meneruskan tindakan yang dirancang oleh orang yang digantikannya. Apabila tamat edahnya tiada apa perubahan yang telah berlaku di Amerika Syarikat.
21. Di Jepun kehendak kepada perubahan membawa kepada kekalahan LDP. Sekarang LDP kembali berkuasa menggantikan Parti Demokratik Jepun yang kekal hanya satu penggal. Perubahan Kerajaan tidak meningkat kemajuan Jepun.
22. Pendapat bahawa perubahan semestinya membawa kebaikan tidak selalu benar. Milton Obote dikatakan Presiden yang tidak baik untuk Uganda. Maka Idi Amin merampas kuasa. Ia lebih buruk sehingga terpaksa diturunkan secara paksa oleh tentera yang memberontak.
23. Iraq diperintah oleh Saddam Hussein sebagai diktator. Ia dikatakan amat kejam. Amerika Syarikat membuat keputusan melakukan pertukaran rejim (regime change). Ini melibatkan pembunuhan 200,000 rakyat Iraq yang tidak berdosa selain menghancurkan negara mereka.
24. Terdapat Kerajaan baru sekarang tetapi disangsikan kebaikannya berbanding Kerajaan Saddam. Tidak ada pertelingkahan antara puak Sunnah wal Jamaah dengan Syiah di zaman Saddam, tetapi sekarang pertembungan ganas sering berlaku antara dua pihak ini, masing-masing mengebom dan membunuh pihak yang lain.
25. Terdapat banyak contoh perubahan rejim tetapi kebanyakkannya tiada perubahan yang berlaku hasil darinya. Amat sedikit contoh menunjuk apabila berlaku perubahan keadaan bertambah baik. Sepertimana dikatakan oleh orang Perancis “Plus ca change, plus c’est la meme chose” (lebih banyak perubahan, lebih banyak kekal sama).
26. Tidak perlu menukar Kerajaan semata-mata untuk menegak system dwi-parti. Negara yang mempunyai system dwi-parti tidak berkeadaan lebih baik. Mereka masih menghadapi krisis kekonomi dan kewangan, mereka mengalami kemelesetan, berdepan dengan demonstrasi jalanan dan mogok.
27. Saya telah nyatakan sebelum ini “better the devil you know than the angel you don’t.” Barisan Nasional bukanlah syaitan. Negara ini maju dengan jaya di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Bila kejayaan tidak berlaku, Barisan cepat menukar pemimpin yang gagal.
28. Pilihanraya memberi kita peluang untuk menunjuk kepada parti pemerintah akan perlunya mengubah dirinya sendiri. Mesej ini akan sampai, amaran telah diberi dan tindakan positif akan diambil.
29. Jangan perjudi Negara ini dengan yang tidak dikenali dan yang belum teruji. Beberapa peluang yang diberi kepada pembangkang menunjuk kekurangan kemahiran dan pencapaian. Kelantan jelas tidak maju dengan baik. Pulau Pinang pula, kejayaan yang sedikit disertai dengan kegagalan yang banyak.
30. Pilihanraya bertujuan untuk rakyat memilih parti yang akan memerintah Negara. Ramai percaya majoriti rakyat tahu apa yang baik untuk mereka. Tetapi hakikatnya majoriti rakyat tidak tahu. Mereka mengundi samada berdasarkan kaum atau parti yang propagandanya terdedah kepada mereka. Cuma segelintir yang memahami isu-isu dan kualiti parti yang bertanding.
31. Akibatnya, pilihanraya mungkin menyebabkan parti yang tidak layak terpilih membentuk Kerajaan.
32. Kerana kemungkinan ini, amatlah penting pengundi diberi seberapa banyak penjelasan yang mungkin mengenai parti dan dasar serta rekod mereka supaya pengundi dapat membuat keputusan yang pintar.