-->

Sebelah Sayap

Sunday, 2 December 2012

Tok Pa Jelajah Kelantan Jelaskan Amanat Presiden UMNO


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menjelajah seluruh Kelantan tidak lama lagi bagi menjelaskan amanat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai azimat buat anggota parti untuk merampas semula Kelantan pada pilihan raya umum ini.

Mustapa berkata paling penting sekali agar anggota Umno di negeri ini tidak berpecah belah di saat akhir dan memastikan perpaduan terus kukuh sesama anggota parti.

"Saya akan bertemu peringkat akar umbi tidak lama lagi mengenai amanat presiden agar soal perpaduan ini diambil kira secara serius dan jangan sama sekali berpecah belah.

"Paling penting juga saya mahu memastikan soal sabotaj mengenai calon tidak berlaku dan yang utamanya bagaimana kita mahu merampas semula Kelantan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan di Jabatan Pembangunan Persekutuan di sini, hari ini.

Kepada rakyat Kelantan pula, beliau berkata Umno akan memberi jaminan hanya Barisan Nasional (BN) mampu melaksanakan yang terbaik buat mereka terutama untuk memantapkan ekonomi bangsa Melayu.

Katanya sebelum ini beliau telah bertemu semua kepimpinan Umno di setiap bahagian namun kali ini akan bertemu secara lebih dekat anggota di peringkat akar umbi yang tidak berpeluang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2012 yang berakhir semalam.

Mengulas mengenai tuntutan royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pintu rundingan kini terbuka luas selepas kerajaan negeri bersetuju untuk menghantar wakil pada mesyuarat jawatankuasa khas mengenai perkara itu tidak lama lagi.

"Sewajarnya ini platform terbaik buat kerajaan negeri untuk berbincang mengenai tuntutan mereka kepada jawatan kuasa khas ini," katanya.

Mustapa berkata dengan persetujuan kerajaan negeri untuk menghantar wakil, secara tidak langsung mereka mengiktiraf jawatankuasa berkenaan.

Pada Ogos lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Sementara itu, mulai tahun depan, kerajaan Pusat memperuntukkan RM14 juta bagi membekalkan 14 batang lampu jalan di setiap kampung di Kelantan.

"Dahulu sudah ada 10 batang lampu jalan ini dan ditambah lagi kepada 14 buah. Ini bagi menceriakan jalan kampung dan untuk mengurangkan kadar jenayah di tempat-tempat tertentu itu," katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun ini kerajaan Pusat memperuntukkan RM263 juta untuk kepentingan kawasan luar bandar termasuk projek membina rumah rumah rakyat miskin dan membaiki lebih 4,000 buah rumah.

Bagaimanapun, masih terdapat suara sumbang yang mendakwa kerajaan Pusat menganaktirikan Kelantan dan sehubungan itu pihaknya akan mengadakan siri penerangan ke seluruh negeri memperjelaskan perkara sebenar seperti isu air.

"Ramai rakyat tidak tahu peranan kerajaan Pusat membantu Kelantan dalam isu air, seperti sesetengah tempat kita telah membina loji dan menyerahkan secara percuma kepada Kelantan bagi menguruskannya," katanya.

-- BERNAMA

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...