-->

Sebelah Sayap

Tuesday, 11 June 2013

Ajaran Al-Arqam Kembali Aktif.


Sungguhpun ajaran kumpulan al-Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Malaysia sekitar 1994, namun ia kini dikatakan kembali aktif di beberapa tempat di Kedah.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Temalang, Mukim Putat di sini, yang didakwa menjadi tempat kumpulan terbabit berkumpul menjalankan kegiatan mereka dikhuatiri benar.

Penduduk, Zainab (bukan nama sebenar) berkata, aktiviti kumpulan terbabit dipercayai kembali aktif kebelakangan ini.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila aktiviti ajaran kumpulan terbabit semakin mendapat sambutan ramai terutama penduduk dari luar kawasan ini.

“Mereka akan berkumpul selepas Zohor dan Maghrib. Cukup ramai sekali yang datang sehinggakan keadaan jalan di kampung ini sesak pada waktu tertentu.

“Entah apa yang mereka buat di situ (rumah). Ramai sangat orang. Ada yang datang dengan van menghantar jemaah perempuan. Ada juga yang datang dengan kereta sendiri,” katanya semalam.

Katanya, perkara itu bukan lagi sesuatu yang baru bagi penduduk di situ kerana kegiatan itu pernah berlaku pada suatu ketika dahulu dan dihidupkan semula.

“Ada juga mereka pelawa saya ikut program. Saya pergi saja la tengok apa mereka buat. Semuanya tidak betul berbanding ajaran kita. Entah apa mereka pelajari,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdullah (bukan nama sebenar) berkata, kegiatan ini melibatkan penduduk tidak mengira jantina dan peringkat umur.

“Ada satu masa saya sendiri melihat mereka bawa anak-anak yang masih kecil, kanak-kanak sekitar bawah 12 tahun, ada juga pada peringkat remaja dan sebagainya. Mereka tidak kira siapa pun, asalkan sertai kegiatan mereka.

“Ramai yang ikut serta. Kebanyakannya orang luar,” katanya.

Semasa tinjauan Sinar Harian, difahamkan juga, balu kepada Allahyarham Ashaari Muhammad, Hatijah Aam atau lebih mesra dengan panggilan Bonda Ummu Jah kini berada di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke perkampungan berkenaan.

Dalam pada itu, seorang pengikut kumpulan al-Arqam yang enggan dikenali berkata, mereka sedang menantikan kepulangan Bonda Ummu Jah yang dijadualkan tiba dari Kuala Lumpur, semalam.

“Ini rumah dia la. Kami baiki semula, cat bagi cantik untuk keselesaan semua yang datang,” katanya.

Ditanya adakah rumah ini dibuat sebagai rumah tumpangan berikutan keadaannya begitu cantik, katanya “lebih kurang macam itu lah. Kami sedang cantikkan lagi kawasan rumah ini”.

Tambahnya lagi, Bonda Ummu Jah juga mempunyai banyak rumah seperti ini di Lahar Yooi, Pulau Pinang dan Kampung Meleleh, Kodiang.

Tinjauan mendapati sekitar kawasan itu sedang dibaiki dan dihiasi dengan pokok-pokok dan kolam ikan di bawah rumah.

Selang beberapa ketika, kelihatan pula seorang lelaki dipercayai warga asing keluar dari sebuah rumah dan melulu ke arah kereta untuk meninggalkan kawasan itu.-SH

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...