-->

Sebelah Sayap

Sunday, 18 November 2012

Puak "Dajjal' Diresapi Fahaman Firqah


PAS jelas telah mula diresapi fahaman firqah atau golongan ekstrem hingga sanggup mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno dihancurkan, kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin.

Beliau berkata menggunakan perkataan 'jahanam' dan mendoakan supaya Umno hancur bukan amalan Islam sebaliknya datang daripada fahaman golongan Khawarij yang hanya menganggap bahawa mereka sahaja betul berbanding dengan orang lain.

"Apakah orang Umno itu tidak Islam hingga PAS sanggup berdoa supaya Umno hancur yang jelas menunjukkan mereka berfahaman Khawarij", katanya kepada Bernama di sini hari ini. Antara ajaran utama golongan Khawarij ialah melabelkan kaum muslimin yang kononnya melakukan dosa besar sebagai kafir.

Beliau mengulas tindakan PAS yang mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat malam lalu yang dipimpin adik kepada Mursyidul Am PAS, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan anjuran parti pambangkang berkenaan.

Antara kandungan doa itu ialah meminta Umno dan Barisan Nasional (BN) dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati serta dipermudahkan pembangkang.

Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Abdullah yang juga anggota Parlimen Besut berkata sepatutnya sebagai parti yang majoriti ahlinya beragama Islam, PAS tidak berbuat sedemikian kepada saudara sesama agama yang menjadi anggota Umno.

Memberikan contoh keadaan Nabi Muhammad SAW yang direjam dengan batu oleh penduduk Taif ketika berdakwah, beliau menegaskan baginda tidak mendoakan kehancuran mereka malah berdoa supaya mereka akan beriman kepada Allah SWT.

Katanya oleh sebab itu, kerajaan menekankan kepada fahaman berdasarkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan.

DI KOTA BAHARU, bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan Wan Ismail Wan Ahmad berkata Islam tidak pernah mengajar untuk memohon doa turun bala kepada sesama orang Islam walaupun berlainan pendapat.

"Dalam Islam tak boleh doa minta bala kepada sesama orang Islam... kena minta doa supaya suruh masuk iman...perkara itu menyamakan Muslim yang didoakan sama seperti mereka bukan Islam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ismail yang juga antara pengasas PAS berkata Nik Razi patut insaf dengan perbuatannya kerana bercanggah dengan ajaran Islam.

"PAS patut berhenti melaung-laungkan perjuangan untuk menegakkan Islam kalau terus bersama dengan bukan Islam. Kalau PAS sudah berjuang dengan kafir, maka tak ada bezalah PAS dengan Umno," katanya.

Sementara itu, Pengasas Madrasah Najmiah atau lebih dikenali Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah menyifatkan tindakan mendoakan kehancuran Umno sebagai satu dosa besar kerana bercanggah dengan al-Quran dan Hadis.

"Inilah yang dipanggil Khawarij iaitu puak yang terkeluar daripada Akidah dan Fiqh yang sebenar... mereka sentiasa cari jalan untuk menjatuhkan sesama Islam," katanya ketika dihubungi.

Di ALOR SETAR, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan tindakan PAS itu sebagai melampau.

"PAS sepatutnya mendoakan agar rakyat Malaysia hidup bersatu-padu bukan memecahbelahkan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian 'durian runtuh' kepada generasi kedua peneroka di Felda Bukit Tembaga.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom yang kesal dengan tindakan PAS itu berkata orang Islam harus mendoakan untuk kebaikan dan kesejahteraan sesama umat dan perbuatan sebaliknya melambangkan kejahilan mereka yang mengabaikan tuntutan agama.

"Kita sepatutnya bangga dan bersyukur kerana Allah SWT memberi kesedaran kepada pemimpin Islam kita yang berjaya memimpin dan meletakkan Islam pada kedudukan tinggi," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian 'durian runtuh' kepada generasi kedua peneroka di Felda Laka Selatan di Changlun.

Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu itu berharap rakyat terutama yang beragama Islam menilai keikhlasan perjuangan PAS dalam menegakkan kebenaran yang diunjurkan Islam dan menolak mereka pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Di IPOH, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata PAS sepatutnya mendoakan sesuatu yang baik kepada Umno yang anggotanya juga beragama Islam.

"Apabila kita berdoa...kita doakan yang baik-baik sahaja, itu prinsip berdoa. Macam mana sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas simbol parti boleh mengadakan doa yang bertentangan dengan prinsip berdoa," katanya kepada pemberita selepas majlis mengimarahkan perpustakaan di Perpustakaan Desa, Kampung Tengku Hussein Baru.

Ahmad Husni yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata negara memerlukan sebuah parti yang dapat menaungi kesemua kaum yang ada di negara ini supaya kepelbagaian serta perbezaan yang ada dalam masyarakat majmuk dapat disatukan.

Di PUTRAJAYA, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan PAS itu disebabkan terlalu taksub dengan kuasa sehingga tergamak bertindak sedemikian.

"Umno dan BN bukannya zalim sehingga disamakan dengan firaun. Ada yang tidak kena dan tidak betul dengan orang yang bertindak sedemikian," katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata selama ini tidak pernah mendengar orang mendoakan kehancuran sesama Islam, orang jahat pun kita tidak boleh mendoakan kehancurannya sebaliknya doakan hatinya terbuka untuk menjadi baik. - BERNAMA

akhir kalam dari aku.. Taksub untuk menegakkan Islam dan taksub untuk ke Putrajaya adalah perkara yang berbeza.. fahamilah ayat ni wahai puak "Dajjal". 

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...