-->

Sebelah Sayap

Sunday 18 November 2012

PAS Sudah Berubah- Wan Ismail



PAS kini dilihat semakin lari daripada perjuangan asal parti untuk menegakkan Islam selepas bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, kata bekas setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan Wan Ismail Wan Ahmad.

"Buktinya ketika ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak sebut mengenai Hudud dan hanya sentuh mengenai negara berkebajikan sebab (wakil) DAP dan PKR ada. (Abdul Hadi) kena fikir mengenai wakil-wakil pembangkang ini juga," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Laporan akhbar hari ini melaporkan usaha PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud jika pembangkang menang pilihan raya umum ke-13, menjadi tanda tanya apabila Abdul Hadi langsung tidak menyentuh mengenai perkara itu dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 di sini, semalam.

Sebaliknya, Abdul Hadi dalam ucapannya selama kira-kira dua jam itu menekankan kepada persiapan jentera parti menghadapi pilihan raya umum untuk memastikan PAS memenangi sebanyak mungkin kerusi yang ditandinginya.

Ismail yang juga antara pengasas PAS, berkata Hukum Hudud yang cuba dilaksana PAS hanyalah untuk mengaburi mata rakyat kerana apa yang digariskan parti itu mengenai hukuman jenayah Syariah dilihat banyak bercanggah dengan prinsip pelaksanaan yang terkandung dalam Islam.

Ismail berkata Islam menegaskan untuk mengemukakan empat saksi, bagaimanapun ia terikat dengan beberapa kriteria yang perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan kepada pesalah.

"Antara syarat itu ialah saksi berkenaan mestilah beragama Islam, mukallaf dan akil baligh serta orang yang tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak kekal membuat dosa kecil.

"Sekarang mana nak cari orang yang macam ini (orang yang tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak kekal membuat dosa kecil) untuk menjadi saksi?" katanya.

Ismail berkata langkah yang diambil oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menyokong hukum Hudud yang cuba dilaksanakan PAS adalah tepat kerana ia sememangnya bercanggah dengan hukum Islam.

"Saya difahamkan Dr Mahathir (ketika menjadi perdana menteri) ada hantar surat kepada (Menteri Besar Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat), kata ada dua perkara bercanggah dengan Hudud yang PAS nak buat.

"Contohnya kes mencuri, orang Islam kena potong tangan tapi bukan Islam kena hukuman macam mana, sedangkan hukum Allah kena adil (ketika menjatuhkan hukuman).

"Satu lagi apabila perempuan tak ada suami, tapi mengandung sebab kena rogol. Masa sama tak ada bukti nak tunjuk dia mengandung sebab dirogol kerana tiada empat orang saksi, maka perempuan itu kena tuduhan zina dan kena sebat 100 kali," katanya.

Isu pelaksanaan hukum Hudud kembali hangat diperkatakan apabila Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Harun Taib selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS ke-51 Jumaat lepas dilapor berkata PAS telah bersetuju untuk melaksanakan dasar Islam, termasuk syariat Islam dan hukum Hudud sekiranya berjaya mentadbir negara.

Harun berkata pakatan pembangkang secara umumnya bersetuju bahawa hukum Hudud akan dilaksana sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun, kenyataan Harun itu disanggah Pengerusi DAP Karpal Singh dan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw yang dilapor berkata mereka tidak tahu bagaimana boleh timbul isu hukum Hudud dipersetujui pakatan pembangkang, sambil menegaskan DAP hanya menerima kedudukan agama Islam seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.- BERNAMA

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...