PAS jelas telah mula diresapi fahaman firqah 
atau golongan ekstrem hingga sanggup mengadakan solat hajat dan berdoa 
supaya Umno dihancurkan, kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri 
Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin.
Beliau berkata menggunakan perkataan 'jahanam' dan mendoakan supaya 
Umno hancur bukan amalan Islam sebaliknya datang daripada fahaman 
golongan Khawarij yang hanya menganggap bahawa mereka sahaja betul 
berbanding dengan orang lain.
"Apakah orang Umno itu tidak Islam hingga PAS sanggup berdoa supaya 
Umno hancur yang jelas menunjukkan mereka berfahaman Khawarij", katanya 
kepada Bernama di sini hari  ini. Antara ajaran utama golongan Khawarij 
ialah melabelkan kaum muslimin yang kononnya melakukan dosa besar 
sebagai kafir.
Beliau mengulas tindakan PAS yang mengadakan solat hajat dan berdoa  
supaya Umno hancur di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat malam lalu yang 
dipimpin adik kepada Mursyidul Am PAS, Nik Razi Nik Mat sempena 
perhimpunan anjuran parti pambangkang berkenaan.
Antara kandungan doa itu ialah meminta Umno dan Barisan Nasional (BN)  
dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi 
dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati serta dipermudahkan pembangkang.
Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Dr Abdullah yang juga anggota Parlimen Besut berkata sepatutnya sebagai
 parti yang majoriti ahlinya beragama Islam, PAS tidak berbuat 
sedemikian kepada saudara sesama agama yang menjadi anggota Umno.
Memberikan contoh keadaan Nabi Muhammad SAW yang direjam dengan batu 
oleh penduduk Taif ketika berdakwah, beliau menegaskan baginda tidak 
mendoakan kehancuran mereka malah berdoa supaya mereka akan beriman 
kepada Allah SWT.
Katanya oleh sebab itu, kerajaan menekankan kepada fahaman berdasarkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan.
DI KOTA BAHARU, bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan Wan Ismail 
Wan Ahmad berkata Islam tidak pernah mengajar untuk memohon doa turun 
bala kepada sesama orang Islam walaupun berlainan pendapat.
"Dalam Islam tak boleh doa minta bala kepada sesama orang Islam... kena
 minta doa supaya suruh masuk iman...perkara itu menyamakan Muslim yang 
didoakan sama seperti mereka bukan Islam," katanya ketika dihubungi 
Bernama.
Ismail yang juga antara pengasas PAS berkata Nik Razi patut insaf dengan perbuatannya kerana bercanggah dengan ajaran Islam.
"PAS patut berhenti melaung-laungkan perjuangan untuk  menegakkan Islam
 kalau terus bersama dengan bukan Islam. Kalau PAS sudah berjuang dengan
 kafir, maka tak ada bezalah PAS dengan Umno," katanya.
Sementara itu, Pengasas Madrasah Najmiah atau lebih dikenali Pondok 
Geting, Tumpat, Abdullah Saamah menyifatkan tindakan mendoakan 
kehancuran Umno sebagai satu dosa besar kerana bercanggah dengan 
al-Quran dan Hadis.
"Inilah yang dipanggil Khawarij iaitu puak yang terkeluar daripada 
Akidah dan Fiqh yang sebenar... mereka sentiasa cari  jalan untuk 
menjatuhkan sesama Islam," katanya ketika dihubungi.
Di ALOR SETAR, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk 
Seri Mahdzir Khalid menyifatkan tindakan PAS itu sebagai melampau.
"PAS sepatutnya mendoakan agar rakyat Malaysia hidup bersatu-padu bukan
 memecahbelahkan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian 
'durian runtuh' kepada generasi kedua peneroka di Felda Bukit Tembaga.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk 
Mohd Johari Baharom yang kesal dengan tindakan PAS itu berkata orang 
Islam harus mendoakan untuk kebaikan dan kesejahteraan sesama umat dan 
perbuatan sebaliknya melambangkan kejahilan mereka yang mengabaikan 
tuntutan agama.
"Kita sepatutnya bangga dan bersyukur kerana Allah SWT memberi 
kesedaran kepada pemimpin Islam kita yang berjaya memimpin dan 
meletakkan Islam pada  kedudukan tinggi," katanya kepada pemberita pada 
majlis penyampaian 'durian runtuh' kepada generasi kedua peneroka di 
Felda Laka Selatan di Changlun.
Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu itu berharap rakyat terutama yang 
beragama Islam menilai keikhlasan perjuangan PAS dalam menegakkan 
kebenaran yang diunjurkan Islam dan menolak mereka pada pilihan raya 
umum ke-13 akan datang.
Di IPOH, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
 berkata PAS sepatutnya mendoakan sesuatu yang baik kepada Umno yang 
anggotanya juga beragama Islam.
"Apabila kita berdoa...kita doakan yang baik-baik sahaja, itu prinsip 
berdoa. Macam mana sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas 
simbol parti boleh mengadakan doa yang bertentangan dengan prinsip 
berdoa," katanya kepada pemberita selepas majlis mengimarahkan 
perpustakaan di Perpustakaan Desa, Kampung Tengku Hussein Baru.
Ahmad Husni yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata negara memerlukan 
sebuah parti yang dapat menaungi kesemua kaum yang ada di negara ini 
supaya kepelbagaian serta perbezaan yang ada dalam masyarakat majmuk 
dapat disatukan.
Di PUTRAJAYA, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan 
Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan PAS itu 
disebabkan terlalu taksub dengan kuasa sehingga tergamak bertindak 
sedemikian.
"Umno dan BN bukannya zalim sehingga disamakan dengan firaun. Ada yang 
tidak kena dan tidak betul dengan orang yang bertindak sedemikian," 
katanya kepada pemberita.
Ismail Sabri berkata selama ini tidak pernah mendengar orang mendoakan 
kehancuran sesama Islam, orang jahat pun kita tidak boleh mendoakan 
kehancurannya sebaliknya doakan hatinya terbuka untuk menjadi baik. - BERNAMA
akhir kalam dari aku.. 
Taksub untuk menegakkan Islam dan taksub untuk ke Putrajaya adalah perkara yang berbeza.. fahamilah ayat ni wahai puak "Dajjal". 
Dah Singgah Komen Sikit