Tidak pernah bergantung pada kelebihan itu, adik kepada penyanyi, Sam Bunkface ini terus berusaha keras memastikan bakat dan kebolehannya dalam bidang lakonan mendapat perhatian pelbagai pihak, terutamanya pengarah dan penerbit tempatan.
Ia terbukti apabila lakonannya menerusi drama bersiri Nora Elena yang turut digandingkan bersama aktor popular, Aaron Aziz telah mendapat sambutan hangat daripada penonton dan sejak itulah namanya semakin mendapat perhatian umum.
Keberkesanan lakonan menerusi drama popular itu ternyata memberi kesan terhadap pencapaian kariernya sehinggakan dia kini dihujani pelbagai tawaran lakonan.
Bersyukur dengan rezeki yang ada, pelakon yang lebih mesra dipanggil Saleha ini mengatakan pencapaian yang dimilikinya hari ini adalah hasil usaha kerasnya yang terlalu meminati bidang lakonan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang tidak pernah putus ini. Saya gembira orang ramai dapat menilai dengan baik bakat dan kebolehan saya dalam bidang lakonan.
"Oleh kerana saya terlalu minat dengan karier ini, saya tidak akan berputus asa untuk membawa nama dan bakat ke peringkat yang lebih baik," katanya penuh semangat.
Menyentuh mengenai perkembangan terbaru karier lakonannya, Saleha mengakui tahun ini dirinya lebih memberi fokus terhadap tawaran lakonan filem.
"Saya tahu ada di kalangan peminat mula merindui kemunculan saya dalam drama televisyen, namun saya ada sasaran, di mana tahun ini saya mahu beri perhatian terhadap tawaran filem.
"Sejak awal tahun lagi, saya kerap menerima tawaran filem dan saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang datang demi kebaikan karier saya," katanya.
Selain bakal muncul dengan telefilem raya, Shawal, Aidil dan Fitri di TV Alhijrah, Saleha turut membintangi telefilem TV9, Aku, Dia Dan Tong Sampah serta Bila Kerbau Bunting Berkubang yang bakal disiarkan di saluran Astro.-SinarHarian