Mengambil keberkatan bulan Ramadan, penyanyi rock terkenal tanah air, Amy Search meraikan 100 anak yatim dari kampung kelahirannya, Kampung Bakar Batu dan pelajar tahfiz dari Madrasah Al-Quran Sinaran Baru Kempas dalam satu majlis berbuka puasa, tahlil dan doa selamat di surau Kampung Bakar Batu, di sini, kelmarin.
Pada majlis sama, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 54, turut menyumbang duit raya dan menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan harian untuk kegunaan madrasah itu.
Menurut Amy, dia berasa sangat lega kerana dapat merealisasikan majlis berkenaan yang telah dirancang sejak sekian lama selain turut disertai ahli keluarganya yang lain.
“Majlis ini sangat bermakna bagi saya kerana dijalankan di kampung saya sendiri iaitu di Kampung Bakar Batu. Sebelum ini, saya dan keluarga selalu anjurkan pengisian yang serupa pada bulan puasa di ibu kota.
“Jika tiada aral melintang, saya bercadang adakan majlis serupa pada setiap Ramadan akan datang,” katanya.
Hadir sama, isterinya, Norhasniza Hassan atau lebih dikenali sebagai Norish, ibunya, Fatimah Idris, 85, dan kakak sulungnya, Azizah, 55. Selepas majlis berbuka puasa, Amy kemudian dikejutkan dengan sambutan hari jadinya yang ke-54 tahun.
Berbeza dengan cara sambutan pada tahun-tahun lalu, sambutan hari lahir Amy kali ini disambut dengan kenduri doa selamat yang dibacakan oleh pelajar-pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang menyertai program tersebut.
Ia disusuli dengan bacaan tahlil untuk ahli keluarga Amy yang telah meninggal dunia dan solat Tarawih.
Dalam pada itu, tenaga pengajar Madrasah Al-Quran Sinaran Baru, Ustaz Mohd Ali Mohd Amin berkata, dia berterima kasih atas kesudian penyanyi itu menjemput mereka menjayakan program itu.
“Alhamdulillah, kami gembira dan bersyukur dengan penganjuran majlis seperti ini, semoga usahanya diberkati ALLAH SWT,” katanya. -SinarHarian
Alhamdulillah.. Macam nie lagi bagus dari Abby yang duk sebar fitnah je..