-->

Sebelah Sayap

Sunday, 9 June 2013

Latifah Omar Meninggal Dunia.



Genap lima hari kita kehilangan pelakon era kegemilangan filem Melayu 'Jalan Ampas' S Shamsudin, hari ini satu lagi khabar duka selepas seniwati Latifah Omar pula meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), petang tadi.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM setelah menjalani pembedahan akibat penyakit ulser.

Menurut pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof yang juga rakan baik Allahyarham, seniwati yang merupakan pelakon era tahun 1950-an itu sebelum ini telah menjalani pembedahan pada bahagian perutnya dan tidak sedarkan diri selepas pembedahan tersebut.

“"Allahyarham menjalani pembedahan pada pukul 2 petang semalam di HUKM dan semasa saya melawatnya pada 6 petang, dia tidak sedarkan diri dan petang tadi saya dimaklumkan beliau sudahpun meninggal dunia," katanya.

Pelakon veteran yang berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah pada Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital.

Seniwati terkenal era Cathay Keris itu sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad.

Antara filem yang dibintanginya termasuk Bawang Putih Bawang Merah, Hang Jebat, Jalak Lenteng, Laila Majnun, Gurindam Jiwa dan Putus Sudah Kasih Sayang.-AgendaDaily

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...