-->

Sebelah Sayap

Sunday, 9 June 2013

Identiti Individu Hina Nabi Dikenal Pasti - Ahmad Shabery


Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengenal pasti identiti dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W melalui laman sosial Facebook dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian itu memandang serius kes penyalahgunaan Internet di negara ini, terutama membabitkan penyebaran fitnah dan hasutan yang boleh menimbul keresahan dan kemarahan rakyat.

"Saya ingin mengingatkan setiap pengguna Internet di negara ini bahawa mereka tidak akan terlepas daripada undang-undang, walaupun perlakuan atau penyataan mereka di laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog itu adalah atas dasar peribadi kerana ianya boleh mencetus provokasi di negara ini," katanya kepada pemberita, di Kemaman, Ahad.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan jamuan rakyat di FELDA Neram Satu, berkata kecanggihan teknologi membolehkan individu terbabit dikesan pihak berkuasa seperti kes-kes sebelum ini termasuk yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Kelmarin, dua akaun Facebook menggunakan nama 'Calvin Gani' dan 'Rakyat Anarki' mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan menghina nabi.

Ditanya kemungkinan Malaysia menyekat akses media sosial seperti Facebook, Ahmad Shabery berkata langkah itu tidak perlu buat masa ini kerana medium berkenaan juga mempunyai kebaikan yang dapat dimanfaatkan banyak pihak.

"Kita tidak akan mengharamkannya hanya kerana tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab...cuma rakyat perlu tahu pihak berkuasa tidak akan berdiam diri jika mereka menyalahgunakan laman media sosial.

"Tetapi saya tidak menolak kemungkinan itu andainya terdapat penggunaan secara negatif yang keterlaluan hingga mendatangkan rasa resah, gelisah dan kemarahan kalangan rakyat.....mungkin ketika itu kerajaan perlu menerima pandangan dan desakan daripada pelbagai pihak untuk melakukannya," katanya.

Antara negara yang mengharamkan akses Facebook ialah China, Vietnam, Syria, Iran, Pakistan, Korea Utara dan Uzbekistan.

--BERNAMA

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...