LAHAD DATU – Mat Bom.
Itulah nama yang sering meniti di bibir para penduduk yang ditemui di Felda Sahabat apabila diminta bercakap mengenai ‘dalang’ di sebalik pencerobohan pengganas militan Sulu ke atas penempatan mereka.
Rata-rata percaya, Mat Bom orang yang paling bertanggung jawab dalam ‘menyambut’ pengganas militan Sulu ke sini hingga menyebabkan 10 anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkenaan.
Akhbar sebelum ini melaporkan lapan lelaki termasuk Mat Bom telah ditahan ketika cuba masuk ke Dewan Serbaguna Embara Budi untuk menyamar sebagai penduduk kampung.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, lelaki berpakaian seperti orang awam cuba mengaburi pasukan keselamatan, namun tidak berhasil selepas dia ditahan di depan pintu pagar dewan berkenaan yang dikawal ketat polis bantuan FELDA.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan polis bantuan yang curiga dengan tindak-tanduk lelaki itu bersama lapan pengikutnya akhirnya membongkar taktik liciknya selepas dia difahamkan antara dalang membawa pengganas masuk ke Kampung Tanduo.
“Mat Bom yang juga penduduk Kampung Tanduo didakwa sering menghasut penduduk kampung supaya memberontak di sini.
“Dia juga sering mengedar risalah mengenai Kesultanan Sulu kepada penduduk kampung dan menghasut supaya mentaati Sultan Sulu,” katanya.
TINJAUAN Mynewshub.my di beberapa penempatan sementara di Felda Sahabat semalam mendapati rata-rata percaya orang yang memainkan peranan besar dalam insiden pencerobohan tersebut adalah Mat Bom.
Menurut Osman (bukan nama sebenar), penduduk kampung telah lama mencurigai gerak-geri lelaki berkenaan malah ada yang telah memaklumkan pihak keselamatan mengenai kebimbangan mereka terhadap Mat Bom.
” Betul, bila perkara ini terjadi kami hanya ingat Mat Bom saja, semua orang tahu betapa bencinya dia pada kerajaan terutama setelah tewas dalam kes perebutan tanahnya dengan FELDA di mahkamah.
” Kami dimaklumkan dia telah ditangkap, baguslah, tetapi kami nak lihat dia segera didakwa di mahkamah dan dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya.
” Tetapi sehingga kini tiada berita mengenai orang tua itu…kita mesti cepat mengadilinya kerana kami tak mahu orang sebegitu di tempat kami,” tegasnya.
Bagi Salimah (bukan nama sebenar), Mat Bom sangat kejam kerana telah banyak meracun pemikiran masyarakat demi kepentingan peribadinya sendiri.
Tambah Salimah, perbuatan Mat Bom tidak boleh dimaafkan kerana ia ternyata telah menyusahkan semua pihak.
” Kalau nak cakap mengenai petualang, tali barut atau apa saja yang seerti dengannya…inilah orangnya.
” Pengganas militan Sulu tak mungkin berani dan mampu menawan kampung kami kalau tidak ada bantuan daripada orang kampung sendiri seperti Mat Bom,” kata ibu kepada empat orang anak ini dengan penuh emosi.
Dalam perkembangan yang sama, Mynewshub.my berpeluang melihat sendiri wajah Mat Bom dan rakaman detik-detik cemas sewaktu dia ditangkap tempoh hari.
Kalau diperhatikan Mat Bom sudah pun berusia lanjut namun sewaktu hendak ditangkap, dia masih sempat memaki hamun anggota polis yang memberkasnya.
Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak mengenai peranan Mat Bom dan sejauh mana penglibatannya dalam insiden ini.
Mungkinkah benar dia petualang, dan jika benar, ternyata orang sebegini tidak boleh dibiarkan terus berada dalam masyarakat.
Dan jika salah, sesuatu harus dilakukan bagi memastikan dia tidak berterusan dilabelkan pengkhianat dan apa saja yang seerti dengannya!
-MyNewsHub