-->

Sebelah Sayap

Wednesday 18 September 2013

PAS Diminta Mengetepikan Dendam Politik Terhadap UMNO Demi Perpaduan Umat

Minta PAS ketepikan politik demi perpaduan ummah

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee meminta PAS mengetepikan dendam politiknya terhadap UMNO demi perpaduan umat.

"Ketepikan sengketa politik, bersatu demi kepentingan umat Islam yang akan mengharungi masa depan lebih mencabar," katanya dalam laman blog www.umnobahagiancheras.blogspot.com

Menurut beliau, perpaduan di kalangan umat Islam membabitkan UMNO-PAS perlu dilihat sebagai agenda utama dalam pembangunan negara bangsa tanpa dibatasi oleh pemikiran politik yang berbeza.

Katanya, sudah sampai masanya satu pendekatan dilakukan bagi menyatupadukan umat Islam di negara ini yang majoritinya adalah keturunan Melayu.

"Oleh sebab itu, UMNO dan PAS sebagai parti politik terbesar mewakili kepentingan orang Melayu dan umat Islam seharusnya berusaha merintis jalan kearah semangat perpaduan umat," tegasnya.

Dalam hal ini, Syed Ali berkata UMNO selaku tonggak kerajaan selama ini telah menunjukkan keikhlasannya untuk mencari jalan damai mengukuhkan permuafalatan umat Melayu tanpa sentimen kepartian.

Tetapi malangnya kata beliau, pemimpin PAS dengan sikap angkuhnya telah menolak salam perpaduan tersebut dengan alasan UMNO sudah terdesak sehingga terpaksa berbaik dengan parti tersebut.

"Tuduhan itu tidak berasas kerana UMNO tidak pernah meletakkan kepentingan politik secara melulu dalam usaha memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini," tegasnya.

Bagaimanapun beliau yakin ahli PAS di peringkat akar umbi bersedia untuk bersatu atas nama kepentingan umat Islam.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjelaskan kerjasama UMNO - PAS untuk menyatupadukan orang Melayu serta umat Islam di negara ini bukan perkara mustahil.

"Pandangan Timbalan Perdana itu adalah sesuatu yang positif, ini membuktikan bahawa pemimpin UMNO sentiasa ikhlas dan bersangka baik terhadap PAS demi kepentingan umat Islam," jelasnya.

Dalam sesi dialog bersama pelajar Universiti Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak semalam, Muhyiddin berkata UMNO tidak mempunyai masalah berhubung cadangan itu (kerjasama dengan PAS).

"Kedengaran banyak seruan meminta pemimpin-pemimpin politik Islam bekerjasama selain timbul pertanyaan mengapa UMNO dan PAS tidak boleh berganding bahu demi kepentingan ummah," jelas Muhyiddin bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan oleh peserta dialog tersebut.

Syed Ali menyifatkan pandangan Timbalan Perdana Menteri itu satu perkembangan positif demi kepentingan dan masa depan umat Islam di negara ini.

"UMNO tidak ada masalah untuk berbincang demi kepentingan Islam, jadi saya harap PAS melihat perkembangan tersebut daripada perspektif yang lebih luas, bukannya hanya menjuruskan kepada kepentingan politik semata-mata," katanya.

Beliau yakin kepimpinan ulama dalam PAS akan sependapat dengan Muhyiddin dalam mencari kesepakatan untuk membina kekuatan dan perpaduan umat.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali menyifatkan penjelasan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan kekal dan lebih selesa bersama Pakatan Rakyat (PR) hanya akan menguntungkan DAP.

"Saya tidak nampak apa keuntungannya (jangka panjang) kepada PAS, sebaliknya hanya memberi kelebihan politik kepada DAP untuk mendapat sokongan pengundi Melayu," ujarnya.

Tindakan itu kata beliau, hanya akan melebarkan lagi jurang perpecahan orang Melayu dan umat Islam ketika DAP terus menyemarakkan lagi fahaman politik perkauman.

-- BERNAMA

Dah Singgah Komen Sikit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...